DYMM Sultan Azlan Shah

DYMM Sultan Azlan Shah

Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah

Raja Azlan Shah memperlihatkan sifat kesungguhan dan ketekunan yang tinggi dalam usaha menguasai ilmu dan pengetahuan sejak memulakan alam persekolahan bermula dari Sekolah Melayu Batu Gajah, disusuli di Sekolah Inggeris Batu Gajah hingga memperoleh ‘School Certificate’ dengan keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Bahasa Latin. Baginda seterusnya meneruskan persekolahan ke Tingkatan Enam di Maktab Malayu Kuala Kangsar.

Sewaktu di bangku sekolah, Baginda adalah seorang aktivis pelajar. Melalui PERMI, Baginda turut serta menyalakan obor perjuangan yang diasaskan oleh Aminuddin Baki menyedarkan betapa pentingnya ilmu dan pengetahuan dalam menentukan kemajuan dan martabat bangsa. Baginda memperlihatakan bakat kepimpinan terserlah hingga dilantik menjadi Ketua Murid di Sekolah Inggeris Batu Gajah pada tahun 1948. Baginda juga seorang olahragawan, pelari pecut terpantas era tersebut, mewakili sekolah dalam perlawanan kriket, bola sepak dan hoki , merupakan penyerang yang digeruni dalam sukan hoki ketika mewakili sekolah dan negeri Perak.

Raja Azlan Shah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Nottingham dalam tahun 1953 dan setahun kemudian diterima sebagai ‘Barrister-at-Law’ di Lincoln’s Inn United Kingdom pada 23 November 1954.

Sekembali ke tanah air, Baginda dilantik sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Undang-undang adalah pilihan utama Baginda. Baginda memulakan perkhidmatan perundangan sebagai seorang majistret. Pada 7 November 1982, baginda sampai ke puncak perkhidmatan perundangan negara apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara . Lebih 1000 kes telah dibicarakan oleh Baginda. Masyarakat amat mengenali Raja Azlan Shah sebagai seorang hakim yang jujur, berani, adil, tegas lagi bijaksana yang senantiasa berpegang kepada prinsip menegakkan kedaulatan undang-undang, mengujudkan kesaksamaan, keadilan dan kebenaran. Sesungguhnya Baginda berjaya membina imej perkhidmatan kehakiman yang dihormati baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Di samping menumpukan pemikiran dalam tugas kehakiman, Baginda turut memainkan peranan aktif dalam dunia pendidikan negara. Baginda diberikan penghormatan menjadi Pengerusi Majlis Penasihat Pelajaran Tinggi dalam tahun 1974, menjadi Pro Canselor Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1971 hingga tahun 1984. Baginda pernah berperanan sebagai pemeriksa luar bagi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Malaya. Pada hari ini baginda adalah Canselor Universiti Malaya .

Baginda adalah seorang pemimpin sukan berkaliber, memimpin Persatuan Hoki Malaysia, sebagai Timbalan Presiden kepada Tun Abdul Razak dan Tun Hussien Onn dan dilantik sebagai Presiden Persekutuan Hoki Asia dan Naib Presiden Pesekutuan Hoki Antarabangsa. Dalam tahun 1975, Baginda bertanggungjawab mengelolakan dengan cemerlang Kejohanan Hoki Dunia Ketiga, di samping menjadi tenaga utama kepada kejayaan pasukan hoki negara sehingga layak ke pertandingan separuh akhir dan mendapat tempat keempat di dunia.

Pada 9 Disember 1985, Baginda telah ditabal sebagai Sultan Perak Darul Ridzuan yang ke-34 dengan menggunakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah. Istiadat pertabalan yang gilang gemilang dan penuh adat istiadat telah diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Pada 18 September 1989, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ditabal sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang ke-9 dan memakai gelaran Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan memerintah selama lima tahun.

Sepanjang laluan hidup yang mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam setiap bidang yang Baginda melibatkan diri, Sultan Azlan Shah telah dikurniakan anugerah akademik oleh beberapa universiti dan bintang kehormatan oleh banyak negara, baik dari dalam mahupun dari luar negara.

Warna-warna hidup indah terlukis di kanvas kehidupan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah. Sesungguhnya laluan dan liku hidup yang begitu gemilang telah memberikan satu rasa kebanggaan kepada rakyat negeri Perak Darul Ridzuan, bersultan seorang Raja yang nama dan jasa Baginda patut diukirkan dengan tinta emas.

Tanggal 28 Mei 2014, menyaksikan episod sedih dalam lipatan sejarah negeri Perak apabila Sultan yang memerintah negeri Perak selama 30 tahun yang begitu disayangi serta dikasihi rakyat telah mangkat jam 1.30 petang di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 86 tahun. Berita kemangkatan Baginda diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. Jenazah Baginda dimakamkan di Makam DiRaja Kuala Kangsar selepas solat Asar. Tempoh perkabungan negeri telah diumumkan selama 100 hari dan bendera Negeri telah dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh perkabungan. Seluruh rakyat jelata negeri Perak merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah s.w.t di kalangan para auliya, syuhada dan solehin. Almarhum diberi gelaran doa Al-Maghfur-Lah yang membawa maksud ‘yang diampuni”.

Galeri ini adalah salah satu pendekatan terbaik untuk merakamkan laluan dan peristiwa yang telah Duli Tuanku cipta dan ukir supaya dapat diikuti dan dihayati oleh rakyat jelata. Galeri ini bukan sahaja dapat berfungsi sebagai sumber rujukan, malah membolehkan rakyat mengenali secara lebih mendalam seorang Raja yang berdaulat lagi dikasihi, hatta hingga ke peringkat dapat meningkatkan fahaman dan apresiasi rakyat terhadap Institusi Raja Berperlembagaan. Di samping itu, cerita-cerita kejayaan Baginda akan dapat dijadikan contoh teladan, menghidupkan inspirasi kepada rakyat keseluruhannya, bahawa seorang Sultan yang agung itu, perlu memiliki sifat-sifat murni lagi mulia.

 

 

Galeri Sultan Azlan Shah

Galeri Sultan Azlan Shah, Bukit Chandan ,
33000 Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan

Hubungi Kami

Telefon: +605 777 5362
Faks: +605 7774957

Emel: gsas@perak.gov.my

Waktu Lawatan

Sabtu - Khamis: 10.00am - 5.00pm
Jumaat:
10.00am - 12.15pm
Dibuka Semula 2.45pm - 5.00pm